Isnin, 29 April 2013

Cerpen Suri Kasih 1 : Suri Iman & Adam Hakimi (part 4)


Suasana di ruang tamu kediaman banglo 3 tingkat itu agak sesak dengan sanak saudara yang sibuk menguruskan segala persiapan untuk perkahwinan Adam Hafizi yang akan berlangsung 2 hari lagi. Adam Hafizi yang sibuk memerhati pakcik-pakciknya membentang kanopi di luar rumah sekadar menggeleng kepala melihat keriangan di wajah ibu dan ayahnya. Menantu pertamalah katakan,desis hatinya.

Melihat kelibat ahli keluarganya yang bertungkus lumus menyiapkan kerja,ringan sahaja tangannya membantu menghulur segala keperluan yang digunakan. Halaman rumah yang besar itu hampir kesemua ruangnya telah ditutupi oleh kanopi serba putih. Tidak senang melihat pakcik-pakciknya mengerah keringat menyiapkan segalanya,lantas dia mendekati Pak Su Azman yang sedang memanjat staircase untuk memperbetulkan kanvas kanopi di bahagian atas. Adam Hafizi mendongak sambil menahan tangga yang dinaiki Pak Su Azman dari bergoyang. Kelibat sepupunya,Ashraf yang berjalan mendekati di toleh sekilas.

“Ayah,ada hand drill tak dengan ayah? Along pinjam kejap,”pintanya sambil mengesat peluh yang merenik di dahi dengan sehelai sapu tangan.

Ada…termasuk pula dekat tool bag  ayah.” Jawab Pak Su Azman sambil tangannya cuba mencapai tool bag yang dililit di pinggangnya.

“Buat apa drill tu? Nanti abang tolong,Ash rehat dululah.” Wajah anak muda itu dipandang. Ashraf sekadar ketawa kecil.

“Tak payahlah abang Fizi,sikit lagi ni. Sepatutnya abang yang kena duduk dalam rumah diam-diam,darah manis tu,kalau ada apa-apa yang tak baik berlaku nanti susah,”ujarnya sambil menyingsing lengan T-shirt yang dipakainya. Adam Hafizi ketawa besar,itulah istilah yang sering didengari dalam seminggu dua ini. Buat kerja sikit,ibu sudah meleter.

“Tak adanya macam tu Ash,semua tu ketentuan ALLAH. Mengelak seribu daya sekalipun,ALLAH kata jadi,jadilah ia.” Tuturnya sambil menepuk-nepuk bahu sepupunya itu. Ashraf terangguk-angguk.

Pak Su Azman perlahan-lahan menghulurkan hand drill ke bawah namun dengan tidak semena-mena pegangannya terlepas dan menyebabkan hand drill itu jatuh tepat ke arah kepala Adam Hafiz. Ashraf yang melihat keadaan itu segera mendapatkannya yang sudah terduduk di halaman rumah mereka. Pak Su Azman terkocoh-kocoh menuruni anak tangga apabila melihat keadaan anak buahnya itu.
Adam Hafizi mengaduh kecil sambil tangan kirinya menekup dahi yang terkena hentakan tadi. Ahli keluarga yang lain segera berkumpul melihat keadaanya. Sebaik sahaja tangannya dialihkan,darah merah pekat mengalir membasahi sebahagian wajahnya. Rata-rata ahli keluarganya sudah panik melihat kecederaan yang dialaminya. Lantas ditekupnya kembali dahinya bagi mengelakkan cecair merah pekat itu terus mengalir deras.

“Astaghfirullahalazim,sungguh pakcik tak sengaja Kimi. Maafkan pakcik” tutur Pak Su Azman dengan nada cemas.
Ashraf yang duduk melutut di sebelahnya segera menghulur sapu tangan untuk menahan pendarahan di dahinya. Adam Hafizi tersenyum sambil menyentuh bahu Pak Su Azman.

“Tak adalah pak su,benda nak jadi. Bukan salah pak su.” Tenang dia menutur kata sambil mengelap darah di dahi sambil cuba untuk berdiri. Ibu dan ayahnya yang berada di dalam rumah sebentar tadi sudah berada di sampingnya.

Kan ibu dah pesan banyak kali,tak usah buat kerja macam ni! Degil,kan dah luka tu!”marah ibunya sambil meneliti luka di dahi anak sulungnya itu. Ayahnya yang bertanyakan mengenai insiden itu kepada adiknya Azman sekadar mengeluh.

“Sikit aja ibu,jangan risaulah,”ujar Adam Hafizi.

“Hah! Dah,pergi masuk dalam. Kejap lagi kita pergi klinik.” Adam Hafizi menggeleng laju.

“Takpalah ibu,lekat plaster ok dah.” Spontan dia melangkah laju sambil mendongakkan kepalanya sedikit bagi mengelakkan darah terus mengalir.

Nurul Aiman yang baru keluar dari dapur menjerit kecil melihat wajah alongnya yang dibasahi darah. Heboh satu rumah melihat keadaan bakal pengantin baru yang cedera. Pantas dia mencapai first aid kit yang terletak di cabinet dapur lalu menuju ke arah alongnya.

“Apa kena ni? Macam mana boleh luka? Dalam tak luka tu?”soal Nurul Aiman bertubi-tubi. Belum sempat pun Adam Hafizi membuka mulut,Nurul Aiman menyambung lagi.

“Sini ikut Aiman! Ya ALLAH,besar luka ni.” Pintu toilet dibuka lantas alongnya didudukkan betul-betul menghadapnya. Saudara mara yang lain berkumpul di muka pintu,melihat drama ‘ER’ versi Nurul Aiman. Adam Hafizi sekadar mengaduh kecil apabila adiknya itu mengesat darah yang masih bersisa di dahinya.

“Ni mana boleh kahwin ni,mana ada pengantin luka. Besar pula tu!” Sakat Nurul Aiman sambil tangannya ligat membersihkan luka. Adam Hafizi memejamkan mata menahan sakit.

“Ha ni confirm ada parut ni. Mesti kak Suri tak nak dekat abang dah lepas ni.”
Spontan Adam Hafizi mendongak.

“Teruk sangat ke?,”soalnya cemas.

“A’ah…nak kena jahit ni. Paling kurang pun 3 jahitan.” Selamba sahaja Nurul Aiman menutur kata. Syok juga tengok muka gelabah alongnya. Adam Hafizi menelan liur. 3 jahitan? Oh tidak! Hatinya mulai gelisah.
Wajah adiknya dipandang sekilas,ada senyuman nakal di situ. Tahulah dia Nurul Aiman sekadar bergurau. Serentak itu berderai tawanya dan Nurul Aiman. Kelibat ibu dan ayahnya di muka pintu sekadar menggeleng melihat perangai kedua-dua anak mereka.

“Tau takut…”sindir adiknya.

“Takut tak jadi kahwin.” Nurul Aiman ternganga. Itu pula yang dirisaukan?

Ada aja along ni,boleh pula cakap macam tu? Tak baik tau,dah dekat majlis ni. Jangan macam-macam!.” Tegas suara adiknya memberi amaran. Dia sekadar terangguk-angguk. Serta merta wajah Suri Iman bermain di ruang matanya.

Selesai membersihkan luka,segera dia menapak langkah ke ruang tamu. Balutan besar ala-ala mumia di kepalanya mengundang tawa sanak saudara yang sedang berkumpul di ruang tamu. Habis segulung bandage digunakan oleh Nurul Aiman bagi membalut luka di dahinya.
“Macam parah sangat ni?,”soal ibunya yang agak terkejut.

“Eh taklah,Aiman ni ha…saja balut macam ni.” Spontan dicubitnya lengan Nurul Aiman yang berdiri di sebelahnya.

“Betul la macam ni,tak kena infection nanti. Kan along?.” Adam Hafizi hanya mampu menggeleng kepala,tidak larat melayan karenah adik bongsunya yang satu ini. Setelah ibunya berpuas hati melihat keadaan kepalanya yang tidak berdarah lagi,barulah kedua-dua ibu dan ayahnya berganjak dari ruang tamu. Adam Hafizi sekadar duduk memerhatikan saudara mara yang sibuk menyarung sampul kad undangan perkahwinannya. Ingin membantu tapi takut dileteri makcik-makciknya yang sudah bising melihat keadaannya. Mahu tidak mahu,terpaksalah dia duduk diam sambil menahan sakit di kepalanya yang berdenyut kuat.

What’s wrong with your head?” soal Adam Hakimi yang baru muncul di sebalik pintu utama. Matanya segera tertumpu ke arah Adam Hafizi yang berbaring di sofa dengan kepala yang berbalut.

“Saja…nak jadi mummy head sekali sekala. Kan Nurul Aiman Zulkifli?” jawab Adam Hafizi seraya menjegil ke arah adik bongsunya yang buat-buat tidak tahu.
“Entah along ni,orang guna drill dekat kayu ke,simen ke…dia drill kepala pula.” Adam Hakimi mengerutkan dahi mendengar kata-kata Nurul Aiman. Seketika barulah dia faham situasi sebenar.

“Tak pergi klinik ke? Marilah Kimi hantar.” Ada sedikit kerisauan di hatinya melihat tompok-tompok kecil berwarna merah di kain balutan itu. Adam Hafizi menggeleng laju dengan mata terpejam.

“Okey dah ni. Tadi Aiman dah sapu ubat.”

You’re bleeding,along. Nanti ada darah beku ke,infection ke. Kan susah?”
Suara Adam Hakimi kedengaran sayup-sayup pada pendengarannya. Rasa ngilu yang kian mencengkam membuatkannya terasa bepinar-pinar. Sejurus kemudian tiada lagi kedengaran suara riuh rendah ahli keluarganya di cuping telinga.

            “Laa…patutlah senyap,dah tidur rupanya mummy head ni,”ujar Nurul Aiman sambil mengalihkan tangan Adam Hafizi dari kepalanya. Adam Hakimi mengeluh perlahan. Kesan darah itu kian jelas pada kain balutan.

            “Angah dari mana tadi?” Soal Nurul Aiman setelah melihat riak wajah Adam Hakimi yang agak keletihan. Adam Hakimi menarik nafas panjang sambil meraup wajahnya.

            “Nak jumpa kawan tapi kereta tu buat hal lagi.”

            “Rosak lagi? Angah hantar pergi workshop kan senang,tak payah nak repair sendiri.” Adam Hakimi menggangguk perlahan. Sakit kepalanya memikirkan kereta kesayangannya itu.

            “Tak boleh biar luka along ni,majlis dah dekat.”ujarnya tegas.

            “Nanti Aiman pujuk along pergi klinik,don’t worry,”tutur Nurul Aiman apabila melihat wajah serius Adam Hakimi. Tahulah dia abangnya yang seorang ini tidak puas hati dengan keadaan sekarang.

            “If you don’t…I will.” Nurul Aiman menggangguk faham.





***bersambung

Cerpen Suri Kasih 1 : Suri Iman & Adam Hakimi (part 3)


Pejam celik akhirnya masa yang dijanjikan sudah tiba. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata. Fikirannya dipenuhi dengan wajah Adam Hafizi,bakal tunangnya. Wajah itu sentiasa hadir sejak kebelakangan ini. Namun tidak pernah pula lelaki itu datang atau menghubunginya lagi selepas kali pertama dan terakhir mereka keluar bersama.

Rindukah dia?

Suri Iman mengeluh perlahan. Fatin yang duduk di katilnya menguntum senyum gembira. Gembira kerana Suri yang dianggapnya macam adik beradik kini akan menjadi tunangan orang.

“Macam sedih je ni?” Fatin segera bersuara apabila melihat Suri Iman tidak seceria seperti biasa. Suri menoleh.

Nervous?”soalnya lagi. Perlahan-lahan Suri menggangguk. Fatin ketawa besar. Tau takut juga kau Iman…

“Relakslah. Ni baru bertunang,belum kahwin.” Sempat lagi dia mengusik. Suri segera melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Fatin. Baju kurung yang dipakainya direnung dalam. Baju itu merupakan pemberian Adam Hafizi padanya seminggu selepas mereka memilih cincin pertunangan. Hanya ibu Adam yang datang untuk menyampaikan pemberian itu.

“Ramai ke kat bawah?”soalnya sambil menyarung stoking nipis ke kakinya.

“Ramai jugaklah,macam kenduri kahwin aku tengok,”ujar Fatin sambil mengemaskan kain tudung di belakang Suri. Suri mengeluh lagi. Bertambah-tambah gementarnya.

“Tapi aku tengok dia macam tak ada.” Fatin memerhati dengan tekun sekujur tubuh yang duduk di sampingnya. Bila dia yakin tiada sebarang cacat cela pada pakaian Suri barulah dia berpuas hati.

“Dia?Maksud kau Adam?”

“Em siapa lagi? Prince charming tu lah. Macam model aku tengok,dahlah tinggi.” Suri ketawa kecil.

“Dia memang tak ikut. Umi dah bagitau semalam.” Jelasnya perlahan.

“Eh kenapa pula tak ikut?” Berkerut dahi Fatin mendengar penjelasan Suri.

“Tak manis la orang tengok,time merisik kan dah ikut.” Fatin sekadar menggangguk.

Tidak lama kemudian muncul wajah Puan Salwa di sebalik daun pintu yang dikuak perlahan. Serentak kedua-dua mereka menoleh. Ibu Fatin berdiri di muka pintu dengan makcik-makciknya yang lain. Puan Salwa memasuki bilik bujang anak daranya yang masih duduk di atas katilnya bersama Fatin. Tenang sahaja wajah anaknya itu namun dalam hatinya hanya Tuhan yang tahu.

“Siap dah?”soal Puan Salwa dengan senyuman yang mekar melihat Suri Iman yang berpakaian biru muda. Suri menggangguk. Fatin mengangkat ibu jarinya sambil menunjukkan simbol ‘bagus’ sekaligus mengundang tawa makcik-makcik mereka yang berdiri di daun pintu.

“Kalau macam tu,jom turun. Puan Husna dah nak sarungkan cincin tu.” Suri menarik nafas panjang. Fatin segera menggamit lengannya. Sejuk membeku.

“Jom,aku temankan.” Bagaikan mengerti rasa gemuruh yang menguasai diri sepupunya itu,lantas sahaja dia menggenggam erat jemari Suri. Serentak itu barulah Suri bangkit dari katil lalu melangkah membuntuti uminya yang sudah lebih dahulu keluar. Sepanjang langkahnya disertakan dengan doa memohon keredhaan Ilahi.

“Jangan lupa senyum tau? Jangan sembunyi lesung pipi kau tu.” Fatin mengusik ketika mereka melangkah menuruni anak tangga. Spontan Suri mencubit lengan Fatin. Ada jugak modal dia nak kenakan aku,desis hati Suri. Suasana yang agak gamat di ruang utama menambah lagi rasa gemuruh di dadanya.

“Angkat muka tu…”tegur Fatin. Aduss… Perlahan-lahan dia mengangkat wajahnya. Pandangannya dihala ke ruang utama yang dipenuhi dengan rombongan keluarga Adam serta ahli keluarga terdekatnya. Seketika pandangannya bertembung dengan lelaki iras-iras wajah Adam Hafizi yang ditemuinya ketika  keluarga Adam datang merisik sebulan lepas. Cepat-cepat dia menoleh ke arah lain.
Nurul Aiman yang duduk bersimpuh di atas permaidani melambai-lambaikan tangannya. Suri tersenyum. Fatin membiarkan Suri mengambil tempat bersebelahan dengan Umi Salwa.

            Upacara dimulakan dengan bacaan doa oleh Pak Su Ismail,adik abahnya. Kedua tangannya ditadahkan memohon ke hadrat Ilahi agar dipermudahkan segala urusan yang belum selesai. Selepas mengaminkan bacaan doa,kedua-dua orang tuanya duduk berhadapan dengan ibu dan ayah Adam. Kempat-empat mereka menjadi tumpuan mata-mata yang ada di situ pada ketika ini. Perbincangan di antara mereka langsung tidak menerjah masuk ke dalam pendengarannya. Nurul Aiman yang berganjak mendapatkannya ditoleh sekilas.

“Cantiknya akak,”pujinya sambil berbisik di telinga Suri. Suri tersipu-sipu malu mendengar pujian bakal adik iparnya itu.

Ada ajalah Aiman ni” Suri menepuk lembut paha anak gadis di sebelahnya itu. Sejak mereka bertukar nombor,kedua-duanya semakin rapat sehinggakan Suri tidak lagi kekok untuk berbual dengannya.

“Along kirim salam”bisiknya sekali lagi. Kali ini Suri sekadar mengukir senyuman di bibir.

Permintaan uminya agar dia maju kehadapan Puan Husna membuatkan perbualan mereka terhenti. Nurul Aiman mengusap-usap jari jemari Suri yang kian membeku,memberi semangat. Perlahan dia bangkit dan duduk bersimpuh betul-betul di hadapan Puan Husna yang tersenyum lebar serta dikelilingi barang hantaran dari pihak lelaki.

“Hulur jari tu,”bisik uminya perlahan.

Suri terkedu. Spontan dia menghulurkan jarinya. Huluran itu disambut laju oleh Puan Husna sambil tangan kanannya mengeluarkan sebuah kotak baldu putih. Ahli keluarga yang lain ada yang sudah berdiri,bersedia untuk merakam saat itu. Sebaik sahaja sebentuk cincin emas terserlah di sebalik baldu putih itu,ruang utama banglo itu dipenuhi dengan cahaya kamera.

“Adik,dongaklah sikit.” Suara-suara yang kedengaran membuatkannya kalut. Ni siapa lagi kalau bukan abang Fatin,sengaja sahaja mahu menyakatnya. Mahu tidak mahu terpaksa juga dia mendongak. Puan Husna segera mencapai cincin itu lalu menyarungkan ke jari Suri Iman.

Slow-slow sikit mama,along pesan ambik gambar paling jelas muka akak Iman,”pinta sebuah suara yang amat dikenalinya. Nurul Aiman! Suri mengetap bibir. Wajahnya yang sudah kemerah-merahan mengundang tawa  semua tetamu di situ. Sebaik sahaja upacara menyarung cincin selesai,tubuhnya diraih oleh Puan Husna. Sahlah kini dia menjadi tunangan Adam Hafizi.
Seketika kemudian dia kembali ke tempatnya sebentar tadi. Sekali lagi bacaan doa kesyukuran bergema di ruang tamu itu. Selesai bacaan doa dari ayah Adam Hafizi,semua yang hadir ke majlis pertunangan itu memasang telinga mendengar setiap butir bicara kedua belah pihak. Setelah agak lama berbincang,dengan lafaz bismillah Pak Su Ismail yang mengacara majlis mengumumkan tarikh perkahwinan yang telah dipersetujui kedua belah pihak.

“Atas persetujuan kedua belah pihak,saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan tarikh majlis pernikahan antara Adam Hafizi bin Zulkifli dan bakal suri isterinya nanti,Suri Iman binti Hasbullah pada tanggal 6 Julai. Insya-ALLAH.”  Saat itu Suri memejamkan mata. Lama. Sejurus selepas tarikh perkahwinan mereka diumumkan,nafasnya bagai terhenti seketika. Tidak lama lagi dia akan bergelar seorang isteri. Baru sahaja menjadi tunangan orang,kini bakal menjadi isteri pula. Kiri dan kanannya dipenuhi sanak saudara yang sibuk mengusiknya. Nurul Aiman dan Fatin tidak ketinggalan.

“Tahniah Iman,dah jadi tunang orang dah cousin aku ni.” Fatin menekup kedua belah pipi Suri sebelum tubuh kecil itu dipeluknya erat. Suri membalas lembut.

“Nanti lepas nikah jangan lupa aku tau?”ujarnya lagi.

“Eh,kenapa ni? Bukannya aku pergi jauh pun.” Suri melonggarkan pelukannya apabila mendengar suara Fatin yang agak serak seolah-olah menahan sendu.

“Pergilah tu,ni dah tinggalkan aku sorang-sorang je single!Kan dah janji kahwin sama-sama?” Serentak itu berderai tawa saudara dan tetamu yang mendengarnya. Nurul Aiman sudah mengekek ketawa melihat wajah Fatin yang sengaja dimuncungkan. Selang beberapa minit kemudian,mereka bertiga bangkit menuju ke meja makan yang sudah agak lengang dari tetamu yang datang. Sedang sibuk melayan Nurul Aiman dan Fatin,pandangannya bertembung dengan seorang lelaki yang berdiri berhampirannya. Lelaki itu lagi! Bagaikan terkena renjatan elektrik,cepat-cepat dia berpusing menghadap Nurul Aiman. Merah padam wajahnya apabila teringatkan insiden sebulan lepas.

“Eh,angah dah makan ke? Jom makan sama-sama” pelawa Nurul Aiman sambil menarik kerusi bersebelahannya. Dengan teragak-agak lelaki itu mengambil tempat.

“Nak apa?,”soal Nurul Aiman,namun pandangan lelaki itu melekat pada wajah Suri Iman. Tajam.

“Tak nak apa-apa,Aiman makanlah.” Jawabnya dengan nada serius. Langsung tidak ada senyuman di wajah seiras Adam Hafizi itu. Nurul Aiman terangguk-angguk sebelum menepuk dahinya,kuat. Spontan ketiga-tiga mereka menoleh ke arahnya.

“Haa…lupa kenalkan. Ni angah Adam Hakimi. Angah,yang baju colour hijau ni kak Fatin,dan yang colour biru ni kak Suri Iman. Takkan tak kenal kot?”

Adam Hakimi? Spontan otaknya ligat berfikir. Kembar Adam Hafizi ke? Wajah serius itu ditoleh sekilas. Nurul Aiman yang seperti dapat membaca fikirannya lantas bersuara.

“Bukan twin brothers ya? Muka aja sama tapi along Fizi tua 2 tahun dari angah Kimi,”terang Nurul Aiman. Serentak Fatin dan Suri mengangguk-angguk.

“Muka macam copy paste aja.” Selamba Fatin menutur kata. Spontan sahaja ruang meja makan itu dipenuhi derai tawa Fatin dan Nurul Aiman.









***bersambung

Jumaat, 26 Oktober 2012

Cerpen Suri Kasih 1 : Suri Iman & Adam Hakimi (part 2)


Adam Hafizi merenung tepat ke arah sekeping gambar kecil yang terselit di dompetnya. Wajah putih bersih yang tersenyum manis itu membuatkannya gila bayang. Sungguh! Wajah itu tidak ada cela baginya,malahan cukup sempurna pada penglihatannya. Terasa bagai dibuai mimpi melihat chubbynya pipi gadis yang bakal menjadi miliknya nanti. Ketukan di mejanya membuatkan dia tersentak lantas menutup dompetnya.

Adam Hakimi yang baru sahaja muncul duduk berhadapan dengannya. Berkerut dahinya melihat kemunculan Hakimi secara tiba-tiba. Baru sahaja dia ingin membuka mulut,Hakimi sudah bertanya dengan selamba.

Daydreaming?” Berkerut dahinya mendengar soalan itu.

“Tak ada masa nak mimpi pun…kenapa tanya camtu pula?” soalan berbalas soalan. Wajah serius adiknya yang dipenuhi renik peluh di pandang sekilas sebelum dia bangkit ke pantry yang terletak di penjuru kanan pejabatnya.

“Kemaruk sangatlah along. Dari tadi tatap gambar tu aje,tak boring?” Hafizi tersenyum. Dihulurnya secawan white coffee kepada Hakimi sebelum kembali ke tempatnya.
           
Get yourself a future wife then along tanya soalan tadi tu kat Kimi. Kita tengok apa Kimi jawab nanti.” Pantas sahaja Hakimi menggeleng laju sambil jari telunjuknya digoyangkan ke kiri dan kanan.

“Kalau ada pun,Kimi rasa tak lah seteruk along ni.”jawabnya laju. Yakin. Hafizi tersenyum mendengar kata-kata adik lelakinya itu.

“Kalau ALLAH datangkan seorang perempuan macam Iman dekat Kimi,macam mana?” soal Adam Hafizi tiba-tiba. Adam Hakimi mengerutkan dahi.

“Macam Iman?”

Adam Hafizi menggangguk.

As in?” Giliran Adam Hakimi pula bertanya. Wajah alongnya yang tersenyum lebar membuatkannya hairan.

“Baik budi bahasa,hormat orang tua,berilmu,sopan santun dan paling penting…menjaga batas pergaulannya sebagai seorang hawa,”jelasnya lancar. Adam Hakimi ketawa.

“Mana along tau dia macam tu?”

Adam Hafizi sekadar menjungkit bahu. Bertambah besar tawanya melihat reaksi alongnya.

You can’t barely touch her hand nor seeing her single hair but you manage to observe all of that? You gotta be kidding me,along.” Adam Hakimi menggeleng kepala.

And I’m not so into those type of girls actually. Nak dengar suara pun susah.” Sambungnya lagi apabila melihat Adam Hafizi ketawa kecil. Those type of girls?

We’ll see about that. Hah apasal datang tiba-tiba? Dengan baju yang basah lencun ni…Kimi dari mana?”soalnya kehairanan. Setahunya,adik lelakinya ini jarang datang ke syarikat mereka kecuali atas permintaan ayahnya.

“Nak pergi airport tadi,ambil Aiman. Tiba-tiba kereta tu meragam pula,nasiblah tak jauh dari sini,”jawab Hakimi sambil mengesat peluh di wajahnya.

Hafizi menepuk dahi. Macam manalah dia boleh terlupa kepulangan adik bongsunya hari ini. Padahal dia sudah berja-nji dengan Aiman untuk menjemputnya di airport seminggu yang lalu.

“Ya ALLAH! Abang lupalah! Napa Kimi tak ingatkan? Jom,kita ambil sekarang!”

            Tergesa-gesa dia menyusun fail penting yang berada di atas mejanya. Hakimi yang baru meneguk sekali white coffeenya tadi turut tergesa-gesa melihat abangnya yang kelam kabut mencari kunci kereta. Cermin mata yang diletakkan di meja sebentar tadi dicapai sebelum kedua-duanya berlalu keluar.




            *          *          *          *          *




11-06-2008

            Pandangannya diarah ke pagar depan rumahnya. Jam yang melingkar di pergelangan tangannya menunjukkan tepat jam 2 petang. Sesekali dia menarik helaian tudung di bahunya yang meliang liuk ditiup angin. Pagi tadi uminya menerima panggilan dari ibu Adam yang meminta keizinan untuk mengajaknya keluar. Setelah menyatakan persetujuannya,segera dia berasa cemas.
Bagaimana harus dia membawa diri di hadapan bakal mentuanya nanti?
            Tidak lama selepas itu sebuah kereta asing memasuki perkarangan halaman rumahnya. Suri bangkit dari bench berdekatan taman sambil memerhatikan kelibat wanita bertudung yang duduk di sebelah driver seat di sebalik windows kereta yang agak gelap. Mesti ibu Adam,gumam hatinya. Perlahan sahaja langkahnya mendekati kereta itu sebelum seorang gadis keluar dari perut kereta diikuti dengan seorang pemuda tinggi lampai. Serentak itu langkahnya terhenti.
Adam? Habis tu mana ibunya? Adusss…
            “Assalamualaikum” ucap Adam Hafizi dengan senyuman yang mekar di bibirnya.
Suri menyambut salam perlahan sambil mengalih pandang ke arah gadis yang bertudung litup bertentangan dengannya. Spontan tangannya diraih oleh gadis itu lantas disalami. Suri terpinga-pinga seketika,malu sendiri bila menyedari dia tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman. Wajah Adam dipandang sekilas,memohon penjelasan tentang gadis dihadapannya kini.

“Kenalkan,ni adik saya,Nurul Aiman. Aiman,ni bakal suri abang,Kak Iman” ujar Adam ringkas dengan riak wajah yang riang. Spontan Suri menoleh. Gadis itu tersenyum manis.

“Err minta maaf,akak tak kenal tadi”tutur Suri.

“Takpa…memanglah tak kenal,tak pernah jumpa,”jawabnya riang. Suri mengangguk perlahan. Adam menoleh sekeliling,mencari kelibat kedua orang tua Suri.

“Pakcik dengan makcik mana?”soal Adam hairan apabila menyedari hanya Suri yang menyambut kedatangan mereka.

“Oh..umi dengan abah pergi rumah pak usu saya tadi. Mereka kirim salam.Umi awak mana?”soal Suri dengan nada yang agak perlahan.

“Ooh…mama tak dapat ikut. Ada hal sikit,ni Aiman ganti mama.” Jelas Adam Hafizi. Suri Iman menggangguk perlahan.

“Kalau macam tu,boleh kita gerak sekarang?”

“Dah..Eh…tak masuk dulu?” pelawa Suri.

“Takpelah akak,jom. Nak borak dengan akak ni.” Adam Hafizi menggeleng melihat telatah adik bongsunya itu. Suka sangat jumpa bakal kakak ipar.
Suri menguntum senyum sambil meminta izin untuk mengambil beg tangannya. Sejurus selepas memberitahu Mak Pah,pembantu rumahnya,Suri segera mendapatkan kedua adik beradik itu yang masih tercegat di luar. Setibanya di kereta,serentak sahaja Adam Hafizi dan Nurul Aiman membuka mulut.

“Duduk depan.” Suri terkulat-kulat. Duduk depan? Dengan lelaki ini?
 Nurul Aiman lantas sahaja membukakan pintu untuknya. Segera dia menggeleng laju.

“Takpa,saya duduk belakang.”

“Eh tak baiklah kalau saya duduk depan,macam tak hormat akak pula”ujar Nurul Aiman sambil menggamit lengan Suri. Adam menggangguk menyetujui kata-kata adiknya. Wajah cemas Suri hampir-hampir membuatkan tawanya pecah.

“Lagi tak manis orang tengok nanti.Takpalah Aiman,akak duduk belakang ya?.” Suri Iman menoleh sekilas ke arah Adam,meminta agar lelaki itu mengerti maksudnya.

Nurul Aiman diam. Perlahan-lahan dia menggangguk mengiakan kata-kata bakal kakak iparnya itu. 




*          *          *          *          *





            Seminit baginya berlalu agak lambat. Kereta yang dipandu Adam Hafizi juga dirasakan seolah-olah tidak bergerak. Dirinya yang bersendirian di seat belakang agak resah apabila menyedari Adam kerapkali memerhatikannya melalui cermin pandang belakang. Sesekali pandangan mereka bertembung. Cepat-cepat dia membuang pandang ke luar. Mujurlah ada Nurul Aiman,kalau tidak entah apa yang mahu dibualkan dengan lelaki ini.

“Akak dah fikir ke warna tema untuk majlis nanti,?”soal Nurul Aiman riang. Adam Hafizi yang sedang memandu menoleh. Nurul Aiman tersengih. Sengaja dia mahu mengenakan bakal kakak iparnya dengan soalan itu. Suka dia melihat wajah perempuan yang bakal menjadi isteri alongnya.

“Majlis?Majlis apa Aiman maksudkan?” soal Suri yang tidak dapat menangkap apa yang dimaksudkan oleh Nurul Aiman.

“Majlis kahwin akak dengan alonglah. Dah ada warna tema ke?”

Suri tersengih. Malu sendiri. Teragak-agak dia untuk menjawab soalan Nurul Aiman. Warna apa ek umi cadangkan hari tu? Adam Hafizi yang turut sama menanti jawapan sekali sekala mencuri pandang wajah putih mulus Suri Iman yang kian merona merah. Nurul Aiman mengetap bibir menahan tawa apabila menyedari Suri Iman teragak-agak untuk menjawab soalannya.

“ Nantilah along bincang dengan Kak Suri. Menyibuk je Aiman ni.” Segera sahaja Adam Hafizi menjawab bagi pihak Suri Iman. Makin lebar senyuman Nurul Aiman melihat gelagat alongnya yang agak protective. Sajalah tu nak kenakan orang,desis hati Adam. Suri Iman menggangguk sahaja.

“Menyibuk dekat kakak ipar pun tak boleh ke?”

“Saja nak kenakan along,kan?” Adam mencuit bahu adiknya perlahan.

“Eh mana ada? Kan akak?”

Suri Iman tertawa kecil melihat karenah kedua adik-beradik di hadapannya ini. Sebenarnya dia agak kekok untuk bersuara di hadapan Adam. Tiap kali dia bersuara,pasti lelaki itu mencuri pandang.

“Habis tu,dah plan ke nak honeymoon kat mana nanti?”

Ahh sudah…soalan ini jugalah yang keluar,gumam Suri. Adam Hafizi sudah berkerut dahi mendengar soalan bonus adiknya.

“Apalah Aiman ni!Tak senonoh betul. Dah,jom keluar” Laju sahaja Adam Hafizi memarkirkan keretanya berhampiran dengan sebuah shopping mall. Suri Iman menarik nafas lega. Nurul Aiman pula sekadar ketawa apabila melihat kedua-dua wajah alongnya dan Suri Iman sudah merona merah macam buah tomato. Keluar sahaja dari perut kereta,pantas digamitnya lengan Suri Iman sambil bergandingan memasuki shopping mall. Nurul Aiman menjelir lidah ke arah alongnya. Adam Hafizi tersengih-sengih melihat kelakuan adiknya. Tunggulah nanti,jangan harap along bagi Aiman pegang-pegang suri along,desisnya. Langkahnya diturutkan mengikut kedua-dua wanita dihadapannya.
Memang niatnya hari ini untuk membawa Suri Iman keluar untuk memilih cincin tunang sekaligus untuk perkahwinan nanti. Ibunya yang diajak menemani mereka namun Nurul Aiman pula yang bertegas ingin menemaninya dengan alasan tidak sabar lagi menemui bakal kakak iparnya.

            Seketika langkahnya terhenti di hadapan sebuah jewelry shop. Lantas digamitnya kedua-dua wanita yang leka berbual.

“Kita pilih kat sini,okey tak?” Suri mengerutkan dahi. Pilih apa? Pantas dia menoleh melihat kedai yang dimaksudkan Adam. Barulah dia mengerti mengapa dia diajak keluar hari ini. Tersipu-sipu dia menggangguk sambil melarikan matanya dari renungan Adam. Nurul Aiman terus sahaja menarik kedua-duanya memasuki kedai itu.

“Kalau ada berkenan nanti bagitau saya,ya?”ujar Adam yang membuntuti langkahnya. Suri sekadar menguntum senyum. Pekerja wanita yang berada di situ segera mengalu-alukan kedatangan mereka. Adam membiarkan Suri Iman bersama adiknya meninjau sekeliling sambil dia menumpukan perhatiannya ke arah deretan cincin yang tersusun indah di sebalik cermin. Gusar hatinya memikirkan bagaimana untuk memilih cincin nanti. Kalau ada ibunya tidaklah dia bersusah payah bertanyakan itu ini dengan Suri Iman. Senang sahaja ibunya mengukur saiz jari Suri Iman.
Namun disebabkan Nurul Aiman,terpaksalah dia memainkan peranan itu. Mahukah Suri Iman nanti?

“Yang tu pun cantik juga. Akak tak nak cuba?”soal Nurul Aiman sambil memandang wajah Suri Iman.

“Akak tak tahulah macam mana nak pilih,Aiman.” Jawabnya terus terang. Kalau dia tahu,pasti digesa uminya untuk ikut bersama.

“Takpe,akak pilih mana berkenan.Nanti Aiman bagitau along,”cadang Nurul Aiman setelah menyedari ketidakselesaan bakal kakak iparnya itu. Adam Hafizi yang agak jauh dari mereka kelihatan leka bertanyakan sesuatu kepada pekerja wanita yang berbangsa Cina di kaunter berhadapan dengannya.

“Tapi…” Suri diam seketika. Ada sesuatu yang meresahkannya.

“Nanti Aiman yang tengok ukuran jari akak,jangan risau.” Seolah-olah mengerti kebimbangan yang Suri fikirkan,lantas sahaja dia mengenyitkan mata.
Barulah Suri Iman menarik nafas lega. Seketika kemudian dia duduk bersendirian setelah Nurul Aiman berlalu ke washroom. Mindanya kosong. Nak pilih apa? Kalau ada umi kan senang.

“Awak dah pilih?” Suara Adam Hafizi yang menerjah pendengarannya dari arah belakang mengejutkannya. Segera dia menoleh. Seperti biasa,redup mata lelaki itu membuatkannya gementar. Cepat-cepat dia beralih pandang.

“Belum lagi,”jawabnya pendek. Lengan panjang blausnya dipintal-pintal. Adam Hafizi mengambil tempat yang ditinggalkan Nurul Aiman sambil matanya tidak lari dari terus-terusan merenung Suri Iman.

“Tak ada yang berkenan?”

Suri Iman menggeleng laju. Mana Nurul Aiman ni?

“Bukan macam tu…tapi saya tak tau nak pilih,”jelasnya. Adam Hafizi menggangguk.

“Kalau macam tu,saya pilihkan awak,boleh?”soal Adam Hafizi meminta keizinan. Suri Iman mendongak. Lelaki di hadapannya masih begitu,tenang dengan senyuman yang sentiasa menghiasi wajahnya. Lambat-lambat Suri menggangguk. Sejurus itu Adam Hafizi meletakkan sebuah kotak baldu berwarna putih betul-betul di hadapannya. Adam Hafizi segera membuka kotak itu sambil memerhatikan reaksi Suri Iman. Sebentuk cincin emas bertatahkan permata tersergam indah di sebalik baldu putih yang menutupinya. Suri Iman tergamam. Wajah tenang Adam dipandangnya sekilas.

“Saya tak pandai pilih. Tapi saya berkenan tengok yang ni. Kalau awak tak berkenan,kita cari tempat lain ya?”tutur Adam Hafizi. Seketika tadi dia bertanyakan pekerja wanita di kedai itu sekiranya ada design yang baru. Sebaik sahaja pekerja itu mengeluarkan kotak baldu putih itu,hatinya sudah terpikat. Namun persetujuan Suri Iman tetap menjadi kepentingannya.

“Tak suka?,”duganya. Suri Iman teragak-agak untuk menjawab. Jika diikutkan hatinya,mahu sahaja dia memberitahu lelaki itu bahawa dia turut berkenan dengan pilihannya. Namun suaranya bagaikan tersekat. Adam Hafizi menanti penuh sabar,dia tahu apa yang bermain di fikiran Suri Iman ketika ini.

“Saya ikut pilihan awak,”ujar Suri Iman. Yakin. Adam Hafizi tersenyum lebar membuatkan pekerja yang berada berdekatan mereka ketawa kecil. Nurul Aiman yang baru keluar dari washroom segera mendapatkan alongnya yang kelihatan agak gembira. Kotak berbalut baldu putih di meja cermin menjadi perhatiannya.

“Haaa…cantiknya. Siapa yang pilih? Akak ke?” Nurul Aiman membelek cincin emas itu lantas mengangkat kening melihat alongnya yang berdehem kuat. Tahulah dia bahawa cincin itu pilihan alongnya. Tangan Suri Iman dicapai lantas disarungnya cincin itu tadi ke jari manis setelah melihat signal yang diberikan oleh alongnya melalui lirikan matanya. Suri Iman tergamam. Namun hatinya bersyukur dengan kehadiran Nurul Aiman. Cincin yang tersarung di jari manisnya direnung. Tidak longgar dan tidak ketat.

“Ha moleklah tu. Pandai along pilih ya?”ujar Nurul Aiman,sengaja ingin menyakat abangnya.

“Eh mestilah.Ni along tau?” Nurul Aiman mengekek ketawa. Suri Iman sekadar tersenyum malu.

“Ni cincin paling mahal kat sini ke.?” Soalan yang keluar dari mulut Nurul Aiman membuatkan hampir semua pelanggan yang berada di situ ketawa. Adam Hafizi turut ketawa.

“Boleh pulak tanya macam tu? Tak malu betullah adik abang ni.” Nurul Aiman masih lagi dengan sisa tawanya. Suri Iman membetulkan tudungnya yang langsung tidak ada celanya itu,sengaja ingin menutup senyumannya.

We’ll take this.

Adam Hafizi menghulurkan kotak kecil itu kepada pekerja yang berada di hadapannya sambil melangkah ke arah kaunter yang berada di hujung. Dibiarkannya Nurul Aiman dan Suri Iman berbual sambil dia menjelaskan bil beliannya.

Getting marry?”soal seorang pemuda berbangsa Cina yang berada di sebelahnya. Adam Hafizi menggangguk mengiakan dengan senyuman bangga.

Congratulation to both of you.” Ucap pemuda itu. Adam Hafizi ketawa. Sungguh dia berasa gembira ketika ini.

Thank you,”balas Adam Hafizi.

Oh..I’ll take this one too.” Adam Hafizi menghulur sebuah kotak kecil yang digenggam sedari tadi ke arah pekerja wanita itu. Adam Hafizi melambai tangannya kepada pemuda Cina tadi sebelum dia berlalu mendapatkan mereka berdua setelah menjelaskan bil.
Usai dengan tujuan utama,Adam Hafizi segera mengajak Suri Iman dan adiknya ke sebuah café yang berdekatan. Masa berlalu begitu pantas baginya. Wajah Suri Iman seolah-olah tidak puas dipandang walaupun berhadapan dengannya. Pertama kali dia mendengar Suri Iman bersuara riang dan ketawa. Nasiblah Nurul Aiman jenis yang pandai mencipta perbualan,kalau tidak mati kutulah dia untuk mendengar suara Suri Iman.

Selang sejam kemudian,mereka bertiga segera keluar dari shopping mall itu. Niatnya untuk membawa Suri Iman ke butik milik ibunya tidak kesampaian apabila Nurul Aiman menunjukkan jam di tangannya. Barulah dia sedar waktu Asar kian menghampiri. Dipendamnya hajat itu untuk hari lain. Yang penting baginya ialah tujuan utama sudah terlaksana dan wajah Suri Iman sudah mengubat rindunya.

“Bila akak boleh keluar lagi?” Nurul Aiman bertanya sebaik sahaja kereta yang dipandu Adam Hafizi meninggalkan kawasan parkir shopping mall itu.

“Kurang pasti lagi Aiman,akak nak siapkan kerja kat kedai bunga akak.Insya-ALLAH kalau ada masa free akak bagitau.”

Suri Iman menjawab jujur. Sememangnya banyak tempahan yang belum disiapkan.
Nurul Aiman menggangguk faham. Hatinya sudah berkenan dengan pilihan alongnya ini,malahan tidak sabar-sabar untuk melihat majlis perkahwinan mereka.

“Kalau macam tu minta nombor telefon akak lah,boleh?” Nurul Aiman sudah menghulurkan handphone-nya ke arah Suri Iman. Adam Hafizi langsung menoleh. Suri Iman terus sahaja menekan keypad,memasukkan nombornya ke dalam contacts Nurul Aiman. Adam Hafizi memerhati dengan tekun dari cermin pandang belakang. Aku pun nak jugak…gumamnya. Menyedari Nurul Aiman sedang tersenyum penuh makna,segera dia menumpukan perhatian pada pemanduannya. Sepanjang perjalanan menuju ke rumah Suri Iman,Adam Hafizi sekadar membisu. Dibiarkannya mereka berdua berbual,takut untuk menyampuk kerana Suri Iman pasti senyap apabila mendengar suaranya. Bencikah dia pada ku,desis hati kecil Adam Hafizi.
            Perjalanan menghantar Suri Iman berakhir dengan cepat bagi Adam Hafizi. Kereta yang dipandunya sudah memasuki perkarangan rumah Suri. Serasanya belum puas lagi melihat wajah mulus Suri Iman. Suri Iman segera melangkah keluar dari perut kereta diikuti dengan Adam Hafizi. Nurul Aiman sekadar menunggu di dalam kereta,memberi peluang kepada alongnya untuk menghantar Suri Iman ke pintu hadapan.

“Terima kasih sudi ikut kami”ujar Adam Hafizi sambil berdiri tegak di hadapan Suri Iman. Seperti sebelum ini,pantas sahaja dia mengundur beberapa tapak ke belakang apabila menyedari tubuh Adam terlalu hampir dengannya.

“Sama-sama.” Jawab Suri ringkas.

“Awak masuklah dulu. Kirim salam dengan umi dan abah awak ya? Assalamualaikum.” Suri menyambut salam perlahan sambil menguntum senyum sebelum melambai Nurul Aiman yang memerhati mereka disebalik cermin kereta. Sejurus itu kelibatnya menghilang di sebalik daun pintu utama. Bergetar jiwa lelakinya melihat senyuman yang terukir di bibir Suri Iman. Perlahan-lahan dia kembali ke dalam kereta dengan sebuah senyuman bermakna. Nurul Aiman yang bersebelahan dengannya mengekek ketawa melihat gelagat alongnya yang angau.

“Minta nombor Kak Suri nanti ya?”pintanya sambil menepuk-nepuk bahu adiknya.
“Aihh? Nombor buah hati sendiri pun tak ada ke along?”sakat Nurul Aiman.

“Tak ada. Lupa minta.”

“Ye ke lupa? Kesian along ya?”

“Nak bagi tak ni?”

Nurul Aiman menjelirkan lidah. Adam Hafizi mengeluh.

“Haih…makin seksalah macam ni.” Kata-kata Adam Hafizi membuatkannya pecah ketawa. 

Sah! Memang alongnya angau!



 to be continued
 *          *          *          *          *

Ahad, 21 Oktober 2012

Cerpen Suri Kasih I : Suri Iman & Adam Hakimi (part 1)


“Untuk seketika saya rasa saya telah lengkapkan hidup awak sebagai seorang isteri.” 


01-05-2008 


            Suri Iman melangkah longlai menuju ke arah biliknya. Sebaik sahaja pintu bilik dikuak,terus sahaja dia menghempaskan tubuhnya ke tilam empuk. Matanya dipejam
rapat. Kata-kata abahnya sebentar tadi terus berngiang-ngiang di telinganya. Perlahan-lahan dia bangkit dari pembaringan lantas menanggalkan tudung litup yang melilit di kepalanya.
Seketika dia diam tidak berganjak. Kahwin? Bukanlah sesuatu yang dia inginkan di usia yang baru menginjak 23 tahun ini. Namun untuk menolak permintaan kedua orang tuanya,dia tidak mampu. Tidak sanggup melihat mereka kecewa hanya kerananya. Suri mengeluh. Penat memikirkan permintaan ‘maut’ abah dan uminya secara tiba-tiba. Kelopak matanya dipejam,kelam. Akhirnya dia mengalah,malas untuk memikirkan soal perkahwinan yang dibangkitkan sebentar tadi.
Lantas sahaja Suri bangkit apabila teringat waktu maghrib yang kian menghampiri. Dengan langkah yang terkocoh-kocoh,tuala di almari dicapainya lalu memasuki bilik air. Niatnya hari ini adalah untuk berjemaah bersama abah dan umi.





                                     *          *          *          *          *

22-05-2008 


            Perbincangan di antara ahli-ahli keluarganya di ruang utama menarik minat Suri. Dia yang berada di dapur memasang telinga mendengar setiap butir kata yang keluar dari mulut umi dan abah mahupun saudara terdekat yang lain. Semuanya berhimpun pada hujung minggu itu untuk membincangkan satu perkara iaitu perkahwinannya.
Beberapa minggu yang lepas abahnya ada menyatakan keinginan seorang kawan rapatnya sejak zaman bujang lagi untuk datang merisik bagi pihak anak lelaki sulungnya. Khabar yang disampaikan oleh abahnya itu membuatkannya terkedu. Membantah tidak,bersetuju apatah lagi. Hal itu diserahkan sepenuhnya kepada kedua orang tuanya yang lebih arif.
Suara deheman dari belakangnya membuatkan Suri tersentak. Muncul Fatin,sepupu yang sebaya dengannya serta uminya;Puan Salwa yang kelihatan agak serius. Suri menoleh ke arah Fatin yang duduk bersebelahannya dengan raut wajah penuh persoalan. Fatin sekadar menjungkit bahu. Umi yang bertentangan dengannya lantas mencapai jemari Suri di atas meja.

“Umi ni wakil dari semua ahli keluarga kita…kami semua dah bincang pasal hajat Encik Zulkifli tu.” Puan Salwa memulakan bicaranya. Suri mendengar penuh teliti walaupun fikirannya entah ke mana.

“Sebelum umi dan abah buat keputusan,umi dengan semua yang lain nak dengar keputusan adik dulu. Apa yang adik nak,kalau itu yang adik rasa terbaik,Insya-ALLAH umi,abah dan semua tak ada masalah nak turutkan,”sambung Puan Salwa.

Jari anak tunggalnya itu digenggam erat seolah-olah memberi keyakinan buat Suri untuk membuat keputusan. Suri menarik nafas perlahan. Serentak itu tangan kanannya diletakkan betul-betul di atas genggaman uminya.

“Adik percayakan umi dan abah.” Suri mengukir senyum. Wajah uminya yang agak serius tadi kelihatan kendur sedikit.

“Sempurnakanlah hajat tu,”ujar Suri. Tenang. Serentak itu juga suara jeritan di muka pintu dapur kedengaran lantang. Ketiga-tiga mereka menoleh. Kelihatan abang dan kakak sepupunya terjengul di sebalik pintu dapur. Suri ketawa. Rupa-rupanya mereka memasang telinga demi mendengar kata putusnya. Wajah Puan Salwa sudah kembali ceria. Diusapnya jari jemari Suri sebelum dia melangkah keluar barangkali ingin menyampaikan  berita gembira itu kepada suaminya. Fatin yang senyap sedari tadi mengusap belakang Suri.

“Aku harap kau betul-betul maksudkan keputusan kau tadi,Iman.” Fatin bersuara.

“Restu umi dan abah tu penting,baik bagi mereka,baik jugalah untuk aku. Jangan risaulah,”jawab Suri sambil menghulur secawan milo panas kepada Fatin. Fatin mengeluh perlahan. Wajah tenang Suri diperhatinya lama. Agak lama dia membisu sehingga Suri menoleh ke arahnya.

“Apasal ni? Macam kena paksa kahwin aje?” usik Suri dengan nada cemas. Fatin mendengus. Aku pula yang kena!

“Kita pulak!Dahlah kena risik tak kasi tau aku awal-awal!”balas Fatin dengan mimik muka yang sengaja dimasamkan. Suri ketawa.

“Eh apasal pulak?Kau ada affair dengan bakal aku punya tu ek?”usik Suri lagi. Terhibur hatinya melihat muncung sedepa yang dibuat-buat oleh Fatin. Segera Fatin menoleh melihat Suri yang mengekek ketawa.

“Ish mulut tu!Dahlah!Jom.” Fatin bingkas berdiri membiarkan Suri tercengang sendiri.

“Jom mana?”soal Suri. Spontan Fatin menghalakan jari telunjuknya ke atas. Bilik Suri. Berkerut dahi Suri dibuatnya. Perlahan-lahan Fatin mengeluarkan sekeping sampul putih dari kocek seluar slacknya.

“Apa tu?” Fatin mengangkat kening lalu membuka sedikit lipatan sampul tersebut. Suri memandang penuh minat.

“Tadi abah suruh bagi ni kat kau. Gambar bakal kau punya.Jom tengok sama-sama.” Bulat biji mata Suri mendengar jawapan Fatin. Spontan Suri menggeleng.

“Tak naklah sekarang.Lain kali ajelah” Suri panik.

“Tak nak? Okay,aku tengok dengan along ek.Bye.” Sejurus selepas Fatin menyudahkan kata-katanya,dia terus berlalu meninggalkan Suri yang tergamam. What??

“Fatinnnnnn!!!!!”

29-05-2008 


A.Hakimi bin Zulkifli & A.Hafizi bin Zulkifli. Nama yang tertera di belakang gambar menjadi perhatiannya. A for Abdul? Klasiknya. Suri tertawa kecil.
Seketika pandangannya jatuh ke arah 10 digit angka yang ditulis di bawah nama tersebut. Gambar itu dibelek lagi,kali ini perhatiannya tertumpu ke arah seorang lelaki yang segak memakai sut hitam.
Yang mana satu dia? Kedua-duanya hampir serupa,yang membezakan adalah cara pemakaian mereka. Seorang lagi kelihatan cukup simple dengan T-shirt pink  pudar dan jeans.
Penat memerhati,Suri memasukkan kembali gambar tersebut ke dalam sampul putih berjaya dirampasnya dari Fatin. Setelah dia menyatakan persetujuannya untuk berkahwin,umi dan abahnya semakin sibuk menguruskan hal pertemuan antara dengan keluarga lelaki. Kata mereka,hal seperti ini tidak boleh dilengah-lengahkan melainkan ada aral melintang. Suri sekadar mengiakan. Tidak gementar mahupun teruja. Pada ALLAH dia berserah. Sampul putih itu dimasukkan ke laci mejanya sebelum dia berlalu ke tingkat bawah. Langkahnya diatur ke arah dapur apabila tiada sesiapa pun yang kelihatan di ruang tamu.

“Abah mana,umi?” soalnya sebaik sahaja melabuhkan punggung di meja makan. Strawberry tea dan kek lapis yang terhidang di meja terus menjadi perhatiannya.

“Umi suruh pergi beli barang,kan lepas Isyak nanti keluarga Adam nak datang” jawab uminya. Adam? Ooh A. tu Adam rupanya,desis hati Suri. Suri sekadar mengangguk. Tidak tahu hendak berkata apa,sungguh dia mati akal kalau topik itu yang diperkatakan.

“Adik dah tengok gambar Adam tu ke?” Soalan yang diajukan oleh uminya membuatkan dia mendongak. Adussss…umi janganlah tanya,detak hatinya.

“Dah” jawabnya pendek sambil terus menghirup teh dalam cawannya.

“Macam mana?Handsome kan?” Suri tersedak. Wajah umi yang tersengih dipandangnya.

“Apalah umi ni,tanya camtu pula. Kan adik dah cakap hari tu,adik tak kisah pun sebab adik percaya dengan pilihan umi dan abah.” Perlahan sahaja tutur katanya namun jelas di telinga uminya,Puan Salwa. Wajah anak tunggalnya itu direnung lama.

“Ada apa-apa ke yang adik boleh bantu?” soal Suri segera menukar tajuk perbualan. Jam yang tersangkut di dinding dapur ditoleh sekilas.

“Hmm tolong umi kemaskan ruang tamu jap,benda-benda yang tak patut tu letaklah dalam stor. Umi nak siapkan masakan ni dulu.”

Segera dia berdiri menuju ke arah ruang tamu dengan kek lapis yang masih bersisa di tangannya. Puan Salwa sekadar menggeleng kepala.


Tepat jam 9 ketibaan keluarga bakal suaminya disambut mesra oleh umi dan abahnya. Suri yang leka bermain dengan kucingnya di dapur tersentak apabila terdengar suara riuh rendah dari ruang utama. Spontan tangannya memegang kepalanya yang tidak bertudung. Bingkas sahaja dia bangun lalu berlari menaiki anak tangga ke arah biliknya.
 Namun sebelum menginjak anak tangga pertama matanya bertembung dengan seorang lelaki asing baginya. Pandangan tajam lelaki itu membuatkan langkahnya semakin laju apabila menyedari auratnya terdedah. Jantungnya berdegup kencang setibanya di kamar miliknya. Macam manalah boleh lupa bawa tudung ke bawah tadi,soalnya dalam hati. Suri mengetap bibir. Ketukan di pintu mengejutkannya. Suara uminya kedengaran perlahan. Pintu dikuak sedikit seraya wajah Puan Salwa terjengul di sebalik daun pintu.

“Siaplah cepat,nanti turun bawah ya? Mereka dah sampai tu” ujar Puan Salwa sebelum menghilangkan diri. Suri mengeluh.

  Perlahan-lahan dia mencapai tudung yang tersadai di birai katil sedari tadi lalu disarungkan ke kepalanya. Suri menarik nafas panjang,menenangkan hatinya yang resah seketika. Dengan langkah yang teragak-agak,Suri menuruni anak tangga satu persatu. Setibanya dia di anak tangga terakhir,pandangannya bertembung dengan ‘lelaki asing’ sebentar tadi. Suri tergamam. Mahu sahaja dia menghilangkan diri saat itu juga. Namun menyedari semua mata tertumpu padanya,lantas dia mengukir senyuman lalu melangkah melintasi lelaki tinggi lampai menuju ke arah uminya yang sibuk berbual dengan seorang wanita bersebelahannya. Mungkin ibu Adam,duga Suri. Selepas bersalaman,barulah abahnya memperkenalkan dirinya sebagai anak perempuan tunggal keluarga ini. Suri menahan rasa gementar di dada melihat begitu ramai ahli keluarga Adam yang datang walaupun pertemuan ini sekadar sesi perkenalan antara kedua buah keluarga. Dari muda hingga yang tua,semuanya memerhatikannya. 

            Selesai menghidang jamuan,Suri mengambil tempat bersebelahan dengan Puan Husna iaitu ibu Adam atas permintaan ahli keluarga Adam sendiri. Duduk di sofa hadapannya ialah ayah Adam,Encik Zulkifli yang rancak berbual dengan abahnya sesekali disampuk dengan kata-kata dari pemuda yang berusia dalam lingkungan pertengahan 20-an. Seorang lagi lelaki yang hampir seiras dengannya kelihatan tegas dan hanya membuka mulut apabila ada soalan diajukan Mereka berdualah yang berada di dalam gambar itu. Tapi yang mana satu bakal Adamnya,dia tidak pasti.

“Iman kerja apa sekarang?Dengan ayah Iman ke?” Soalan Puan Husna memecah kebuntuan yang bersarang di hatinya. Tangan Suri Iman ditepuk perlahan.


“Tak..Saya buka kedai bunga sendiri makcik,nak cuba perniagaan sendiri.Tapi abah memang banyak bantu saya dari segi kewangan,”jawab Suri Iman dengan lancar. Namun dalam hati siapa tahu?

“Ooh macam tu. Nanti esok lusa lepas nikah,tak payahlah kerja kat situ lagi. Kerja aje kat tempat Adam,boleh bantu dia.Bukan gitu ya mak Iman?” soal Puan Husna sambil menoleh melihat Puan Salwa yang ketawa kecil.

Bersahaja ayat yang keluar dari mulut Puan Husna membuatkan ahli keluarganya yang lain turut sama ketawa. Suri tunduk memandang lantai. Wajahnya yang secepat kilat bertukar kemerahan mengundang lagi tawa besar ibu Adam. Lantas diusapnya bahu Suri perlahan,seolah-olah menenangkannya. Suri hanya mampu tersenyum.

“Insya-ALLAH makcik,”jawabnya.

Ternyata pertemuan itu tidaklah seteruk yang dia jangkakan. Kemesraan yang ditunjukkan oleh keluarga Adam membuatkannya selesa dan tidak lagi panik seperti awalnya. Dari soal kerja hinggalah perancangan masa depan,semuanya menjadi bahan perbualan. Ahli keluarga Adam yang lain tidak ketinggalan bertanya itu ini dengannya sehinggakan Suri tidak lagi kekok untuk memulakan perbualan.

            Usai pertemuan kali itu,keluarga Adam memohon untuk berangkat pulang selepas menyempurnakan hajat untuk merisik Suri Iman. Setelah berbincang agak lama,akhirnya kata putus dicapai dengan persetujuan kedua belah pihak. Tarikh pertunangan yang ditetapkan adalah sebulan selepas adat merisik atas permintaan pihak lelaki. Tarikh perkahwinan akan ditetapkan selepas majlis pertunangan disempurnakan,itupun atas permintaan ayah Adam. Suri menarik nafas panjang. Langkahnya diatur mengiringi mereka yang agak keberatan untuk menamatkan perbualan sebentar tadi.

“Assalamualaikum”

Ucapan salam dari belakang membuatkannya terperanjat. Segera Suri menjawab salam itu lantas menoleh. Untuk seketika dia blank. Kedua-dua lelaki  seiras yang berada di belakangnya melihatnya dengan raut wajah yang berbeza. Yang satu berdiri tegak betul-betul menghadapnya,yang satu lagi terus menghayun langkahnya melintasi Suri menuju ke arah kereta hitam di garaj. Suri berundur setapak. Perlahan-lahan lelaki itu menghulur sekeping kad putih ke arahnya. Teragak-agak Suri menyambutnya.

“Terima kasih,Iman. Kalau ada hal nak dibincangkan bersama,awak boleh contact saya ya.” Ujar lelaki itu. Bergetar jantungnya melihat redup mata gadis di hadapannya kini. Suri sekadar mengangguk.

“Insya-ALLAH,awak akan jadi milik saya dengan sah. Assalamualaikum.” Ayat terakhir yang keluar dari bibir lelaki tinggi lampai itu membuatkan Suri terkedu. Dengan senyuman yang menghiasi wajah,lelaki itu berlalu meninggalkan Suri yang agak terkejut.

Milik yang sah?

Itukah Adamnya?


***bersambung