“Untuk seketika
saya rasa saya telah lengkapkan hidup awak sebagai seorang isteri.”
01-05-2008
Suri Iman melangkah longlai menuju ke arah biliknya. Sebaik sahaja pintu
bilik dikuak,terus sahaja dia menghempaskan tubuhnya ke tilam empuk. Matanya
dipejam
rapat. Kata-kata
abahnya sebentar tadi terus berngiang-ngiang di telinganya. Perlahan-lahan dia
bangkit dari pembaringan lantas menanggalkan tudung litup yang melilit di
kepalanya.
Seketika dia diam
tidak berganjak. Kahwin? Bukanlah sesuatu yang dia inginkan di usia yang baru
menginjak 23 tahun ini. Namun untuk menolak permintaan kedua orang tuanya,dia
tidak mampu. Tidak sanggup melihat mereka kecewa hanya kerananya. Suri
mengeluh. Penat memikirkan permintaan ‘maut’ abah dan uminya secara tiba-tiba.
Kelopak matanya dipejam,kelam. Akhirnya dia mengalah,malas untuk memikirkan
soal perkahwinan yang dibangkitkan sebentar tadi.
Lantas sahaja Suri bangkit apabila teringat waktu maghrib yang kian
menghampiri. Dengan langkah yang terkocoh-kocoh,tuala di almari dicapainya lalu
memasuki bilik air. Niatnya hari ini adalah untuk berjemaah bersama abah dan
umi.
*
*
*
* *
22-05-2008
Perbincangan di antara ahli-ahli keluarganya di ruang utama menarik minat Suri.
Dia yang berada di dapur memasang telinga mendengar setiap butir kata yang
keluar dari mulut umi dan abah mahupun saudara terdekat yang lain. Semuanya
berhimpun pada hujung minggu itu untuk membincangkan satu perkara iaitu
perkahwinannya.
Beberapa minggu
yang lepas abahnya ada menyatakan keinginan seorang kawan rapatnya sejak zaman
bujang lagi untuk datang merisik bagi pihak anak lelaki sulungnya. Khabar yang
disampaikan oleh abahnya itu membuatkannya terkedu. Membantah tidak,bersetuju
apatah lagi. Hal itu diserahkan sepenuhnya kepada kedua orang tuanya yang lebih
arif.
Suara deheman dari
belakangnya membuatkan Suri tersentak. Muncul Fatin,sepupu yang sebaya
dengannya serta uminya;Puan Salwa yang kelihatan agak serius. Suri menoleh ke
arah Fatin yang duduk bersebelahannya dengan raut wajah penuh persoalan. Fatin
sekadar menjungkit bahu. Umi yang bertentangan dengannya lantas mencapai jemari
Suri di atas meja.
“Umi ni wakil dari
semua ahli keluarga kita…kami semua dah bincang pasal hajat Encik Zulkifli tu.”
Puan Salwa memulakan bicaranya. Suri mendengar penuh teliti walaupun fikirannya
entah ke mana.
“Sebelum umi dan
abah buat keputusan,umi dengan semua yang lain nak dengar keputusan adik dulu.
Apa yang adik nak,kalau itu yang adik rasa terbaik,Insya-ALLAH umi,abah dan
semua tak ada masalah nak turutkan,”sambung Puan Salwa.
Jari anak
tunggalnya itu digenggam erat seolah-olah memberi keyakinan buat Suri untuk
membuat keputusan. Suri menarik nafas perlahan. Serentak itu tangan kanannya
diletakkan betul-betul di atas genggaman uminya.
“Adik percayakan
umi dan abah.” Suri mengukir senyum. Wajah uminya yang agak serius tadi
kelihatan kendur sedikit.
“Sempurnakanlah
hajat tu,”ujar Suri. Tenang. Serentak itu juga suara jeritan di muka pintu
dapur kedengaran lantang. Ketiga-tiga mereka menoleh. Kelihatan abang dan kakak
sepupunya terjengul di sebalik pintu dapur. Suri ketawa. Rupa-rupanya mereka
memasang telinga demi mendengar kata putusnya. Wajah Puan Salwa sudah kembali
ceria. Diusapnya jari jemari Suri sebelum dia melangkah keluar barangkali ingin
menyampaikan berita gembira itu kepada suaminya. Fatin yang senyap sedari
tadi mengusap belakang Suri.
“Aku harap kau
betul-betul maksudkan keputusan kau tadi,Iman.” Fatin bersuara.
“Restu umi dan abah
tu penting,baik bagi mereka,baik jugalah untuk aku. Jangan risaulah,”jawab Suri
sambil menghulur secawan milo panas kepada Fatin. Fatin mengeluh perlahan.
Wajah tenang Suri diperhatinya lama. Agak lama dia membisu sehingga Suri
menoleh ke arahnya.
“Apasal ni? Macam
kena paksa kahwin aje?” usik Suri dengan nada cemas. Fatin mendengus. Aku pula
yang kena!
“Kita pulak!Dahlah
kena risik tak kasi tau aku awal-awal!”balas Fatin dengan mimik muka yang
sengaja dimasamkan. Suri ketawa.
“Eh apasal
pulak?Kau ada affair dengan bakal aku punya tu ek?”usik Suri
lagi. Terhibur hatinya melihat muncung sedepa yang dibuat-buat oleh Fatin.
Segera Fatin menoleh melihat Suri yang mengekek ketawa.
“Ish mulut
tu!Dahlah!Jom.” Fatin bingkas berdiri membiarkan Suri tercengang sendiri.
“Jom mana?”soal
Suri. Spontan Fatin menghalakan jari telunjuknya ke atas. Bilik Suri. Berkerut
dahi Suri dibuatnya. Perlahan-lahan Fatin mengeluarkan sekeping sampul putih
dari kocek seluar slacknya.
“Apa tu?” Fatin
mengangkat kening lalu membuka sedikit lipatan sampul tersebut. Suri memandang
penuh minat.
“Tadi abah suruh
bagi ni kat kau. Gambar bakal kau punya.Jom tengok sama-sama.” Bulat biji mata
Suri mendengar jawapan Fatin. Spontan Suri menggeleng.
“Tak naklah
sekarang.Lain kali ajelah” Suri panik.
“Tak nak? Okay,aku
tengok dengan along ek.Bye.” Sejurus selepas Fatin menyudahkan
kata-katanya,dia terus berlalu meninggalkan Suri yang tergamam. What??
“Fatinnnnnn!!!!!”
29-05-2008
A.Hakimi bin
Zulkifli & A.Hafizi bin Zulkifli. Nama yang tertera di belakang gambar
menjadi perhatiannya. A for Abdul? Klasiknya. Suri tertawa
kecil.
Seketika
pandangannya jatuh ke arah 10 digit angka yang ditulis di bawah nama tersebut.
Gambar itu dibelek lagi,kali ini perhatiannya tertumpu ke arah seorang lelaki
yang segak memakai sut hitam.
Yang mana satu dia?
Kedua-duanya hampir serupa,yang membezakan adalah cara pemakaian mereka.
Seorang lagi kelihatan cukup simple dengan T-shirt pink pudar dan jeans.
Penat
memerhati,Suri memasukkan kembali gambar tersebut ke dalam sampul putih berjaya
dirampasnya dari Fatin. Setelah dia menyatakan persetujuannya untuk
berkahwin,umi dan abahnya semakin sibuk menguruskan hal pertemuan antara dengan
keluarga lelaki. Kata mereka,hal seperti ini tidak boleh dilengah-lengahkan
melainkan ada aral melintang. Suri sekadar mengiakan. Tidak gementar mahupun
teruja. Pada ALLAH dia berserah. Sampul putih itu dimasukkan ke laci mejanya
sebelum dia berlalu ke tingkat bawah. Langkahnya diatur ke arah dapur apabila
tiada sesiapa pun yang kelihatan di ruang tamu.
“Abah mana,umi?”
soalnya sebaik sahaja melabuhkan punggung di meja makan. Strawberry tea dan
kek lapis yang terhidang di meja terus menjadi perhatiannya.
“Umi suruh pergi
beli barang,kan lepas Isyak nanti keluarga Adam nak datang” jawab uminya. Adam?
Ooh A. tu Adam rupanya,desis hati Suri. Suri sekadar mengangguk. Tidak tahu
hendak berkata apa,sungguh dia mati akal kalau topik itu yang diperkatakan.
“Adik dah tengok
gambar Adam tu ke?” Soalan yang diajukan oleh uminya membuatkan dia mendongak.
Adussss…umi janganlah tanya,detak hatinya.
“Dah” jawabnya
pendek sambil terus menghirup teh dalam cawannya.
“Macam mana?Handsome kan?”
Suri tersedak. Wajah umi yang tersengih dipandangnya.
“Apalah umi
ni,tanya camtu pula. Kan adik dah cakap hari tu,adik tak kisah pun sebab adik
percaya dengan pilihan umi dan abah.” Perlahan sahaja tutur katanya namun jelas
di telinga uminya,Puan Salwa. Wajah anak tunggalnya itu direnung lama.
“Ada apa-apa ke
yang adik boleh bantu?” soal Suri segera menukar tajuk perbualan. Jam yang
tersangkut di dinding dapur ditoleh sekilas.
“Hmm tolong umi
kemaskan ruang tamu jap,benda-benda yang tak patut tu letaklah dalam stor. Umi
nak siapkan masakan ni dulu.”
Segera dia berdiri
menuju ke arah ruang tamu dengan kek lapis yang masih bersisa di tangannya.
Puan Salwa sekadar menggeleng kepala.
Tepat jam 9
ketibaan keluarga bakal suaminya disambut mesra oleh umi dan abahnya. Suri yang
leka bermain dengan kucingnya di dapur tersentak apabila terdengar suara riuh
rendah dari ruang utama. Spontan tangannya memegang kepalanya yang tidak
bertudung. Bingkas sahaja dia bangun lalu berlari menaiki anak tangga ke arah
biliknya.
Namun sebelum
menginjak anak tangga pertama matanya bertembung dengan seorang lelaki asing
baginya. Pandangan tajam lelaki itu membuatkan langkahnya semakin laju apabila
menyedari auratnya terdedah. Jantungnya berdegup kencang setibanya di kamar
miliknya. Macam manalah boleh lupa bawa tudung ke bawah tadi,soalnya dalam
hati. Suri mengetap bibir. Ketukan di pintu mengejutkannya. Suara uminya
kedengaran perlahan. Pintu dikuak sedikit seraya wajah Puan Salwa terjengul di
sebalik daun pintu.
“Siaplah
cepat,nanti turun bawah ya? Mereka dah sampai tu” ujar Puan Salwa sebelum
menghilangkan diri. Suri mengeluh.
Perlahan-lahan
dia mencapai tudung yang tersadai di birai katil sedari tadi lalu disarungkan
ke kepalanya. Suri menarik nafas panjang,menenangkan hatinya yang resah
seketika. Dengan langkah yang teragak-agak,Suri menuruni anak tangga satu
persatu. Setibanya dia di anak tangga terakhir,pandangannya bertembung
dengan ‘lelaki asing’ sebentar tadi. Suri tergamam. Mahu sahaja dia
menghilangkan diri saat itu juga. Namun menyedari semua mata tertumpu
padanya,lantas dia mengukir senyuman lalu melangkah melintasi lelaki tinggi
lampai menuju ke arah uminya yang sibuk berbual dengan seorang wanita
bersebelahannya. Mungkin ibu Adam,duga Suri. Selepas bersalaman,barulah abahnya
memperkenalkan dirinya sebagai anak perempuan tunggal keluarga ini. Suri
menahan rasa gementar di dada melihat begitu ramai ahli keluarga Adam yang
datang walaupun pertemuan ini sekadar sesi perkenalan antara kedua buah
keluarga. Dari muda hingga yang tua,semuanya memerhatikannya.
Selesai menghidang jamuan,Suri mengambil tempat bersebelahan dengan Puan Husna
iaitu ibu Adam atas permintaan ahli keluarga Adam sendiri. Duduk di sofa
hadapannya ialah ayah Adam,Encik Zulkifli yang rancak berbual dengan abahnya
sesekali disampuk dengan kata-kata dari pemuda yang berusia dalam lingkungan
pertengahan 20-an. Seorang lagi lelaki yang hampir seiras dengannya kelihatan tegas
dan hanya membuka mulut apabila ada soalan diajukan Mereka berdualah yang
berada di dalam gambar itu. Tapi yang mana satu bakal Adamnya,dia tidak pasti.
“Iman kerja apa
sekarang?Dengan ayah Iman ke?” Soalan Puan Husna memecah kebuntuan yang bersarang
di hatinya. Tangan Suri Iman ditepuk perlahan.
“Tak..Saya buka
kedai bunga sendiri makcik,nak cuba perniagaan sendiri.Tapi abah memang banyak
bantu saya dari segi kewangan,”jawab Suri Iman dengan lancar. Namun dalam hati
siapa tahu?
“Ooh macam tu. Nanti
esok lusa lepas nikah,tak payahlah kerja kat situ lagi. Kerja aje kat tempat
Adam,boleh bantu dia.Bukan gitu ya mak Iman?” soal Puan Husna sambil menoleh
melihat Puan Salwa yang ketawa kecil.
Bersahaja ayat yang
keluar dari mulut Puan Husna membuatkan ahli keluarganya yang lain turut sama
ketawa. Suri tunduk memandang lantai. Wajahnya yang secepat kilat bertukar
kemerahan mengundang lagi tawa besar ibu Adam. Lantas diusapnya bahu Suri
perlahan,seolah-olah menenangkannya. Suri hanya mampu tersenyum.
“Insya-ALLAH
makcik,”jawabnya.
Ternyata pertemuan
itu tidaklah seteruk yang dia jangkakan. Kemesraan yang ditunjukkan oleh
keluarga Adam membuatkannya selesa dan tidak lagi panik seperti awalnya. Dari
soal kerja hinggalah perancangan masa depan,semuanya menjadi bahan perbualan.
Ahli keluarga Adam yang lain tidak ketinggalan bertanya itu ini dengannya
sehinggakan Suri tidak lagi kekok untuk memulakan perbualan.
Usai pertemuan kali itu,keluarga Adam memohon untuk berangkat pulang selepas
menyempurnakan hajat untuk merisik Suri Iman. Setelah berbincang agak
lama,akhirnya kata putus dicapai dengan persetujuan kedua belah pihak. Tarikh
pertunangan yang ditetapkan adalah sebulan selepas adat merisik atas permintaan
pihak lelaki. Tarikh perkahwinan akan ditetapkan selepas majlis pertunangan
disempurnakan,itupun atas permintaan ayah Adam. Suri menarik nafas panjang.
Langkahnya diatur mengiringi mereka yang agak keberatan untuk menamatkan
perbualan sebentar tadi.
“Assalamualaikum”
Ucapan salam dari
belakang membuatkannya terperanjat. Segera Suri menjawab salam itu lantas
menoleh. Untuk seketika dia blank. Kedua-dua lelaki seiras
yang berada di belakangnya melihatnya dengan raut wajah yang berbeza. Yang satu
berdiri tegak betul-betul menghadapnya,yang satu lagi terus menghayun
langkahnya melintasi Suri menuju ke arah kereta hitam di garaj. Suri berundur
setapak. Perlahan-lahan lelaki itu menghulur sekeping kad putih ke arahnya.
Teragak-agak Suri menyambutnya.
“Terima kasih,Iman.
Kalau ada hal nak dibincangkan bersama,awak boleh contact saya
ya.” Ujar lelaki itu. Bergetar jantungnya melihat redup mata gadis di
hadapannya kini. Suri sekadar mengangguk.
“Insya-ALLAH,awak
akan jadi milik saya dengan sah. Assalamualaikum.” Ayat terakhir yang keluar
dari bibir lelaki tinggi lampai itu membuatkan Suri terkedu. Dengan senyuman
yang menghiasi wajah,lelaki itu berlalu meninggalkan Suri yang agak terkejut.
Milik yang sah?
Itukah Adamnya?
***bersambung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan